+6082-266808

Mon-Fri 8:00 - 15:00

Kuching, Sarawak

Azimat Menyingkap Ruang Gelap Jiwa Manusia

Share This Post

Tayangan perdana filem AZIMAT yang berlangsung pada 21 November 2025 di TGV Cinema Vivacity Megamall, Kuching, telah menjadi pentas yang membuktikan kemampuan anak Sarawak menghasilkan karya bertaraf profesional dan penuh nilai identiti tempatan.

Suasana sekitar foyer TGV sudah dipenuhi debaran dan keterujaan para jemputan yang hadir untuk menyaksikan sendiri karya baharu terbitan Faradale Media-M Sdn Bhd, sebuah karya yang telah lama dinantikan.

Mengangkat genre seram psikologi, AZIMAT menyelam ke ruang sisi gelap jiwa manusia, mengupas bagaimana keinginan, ketakutan dan tekanan hidup mampu membuka pintu kepada amalan yang bersifat mistik.

Menariknya, filem ini turut memaparkan elemen budaya Iban, termasuk simbolisme dan naratif tradisional yang jarang diangkat ke layar perak.

Pendekatan ini bukan sahaja memperkayakan jalan cerita, tetapi juga memperkenalkan warisan budaya Borneo kepada khalayak lebih luas.

Seawal 7.00 malam, tetamu jemputan telah mula tiba dan mendaftar dengan memperlihatkan perkarangan pawangan menjadi meriah dengan kehadiran peminat filem, rakan industri kreatif, rakan media serta wakil-wakil korporat yang ingin menyokong karya tempatan.
Sebelum tayangan bermula, barisan pelakon sempat menikmati hidangan malam dalam suasana santai bersama Pengerusi dan Pengarah Urusan Faradale Media-M Sdn Bhd.

Ini turut menjadi momen simbolik bagi seluruh produksi menandakan penamat perjalanan panjang selama tiga tahun dalam pembikinan AZIMAT.
Menurut Pengerusi Faradale Media-M Sdn Bhd, Dato Hajah Norhyati binti Haji Mohd Ismail, AZIMAT merupakan karya yang dihasilkan anak Sarawak daripada awal hingga akhir termasuklah peringkat idea, penulisan skrip, pemilihan lokasi, tenaga kerja produksi hinggalah ke barisan pelakonnya, semuanya digerakkan oleh bakat tempatan.

Beliau menyatakan bahawa filem ini mampu membuktikan bahawa Sarawak ternyata kaya dengan budaya dan warisan sejarah.
Pengarah filem AZIMAT, Kayzee Cortez, turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam penghasilan filem tersebut yang mengambil selama tempoh tiga tahun produksi. Beliau amat berbangga dengan bakat-bakat tempatan yang ditonjolkan melalui filem tersebut.
Tayangan perdana ini dihadiri sekitar 120 orang tetamu jemputan, termasuk wakil-wakil media, pencinta filem tempatan serta rakan industri kreatif.
Pada tepat 9.00 malam, lampu dewan mulai malap dan tayangan pun dimulakan. Kesunyian dewan bertukar menjadi dunia baharu yang penuh misteri dan ketegangan psikologi yang segera mengikat tumpuan penonton.
Sejak babak awal lagi, jalan cerita AZIMAT membuatkan penonton tertunggu-tunggu, cuba menafsir petunjuk dan misteri yang dibina satu persatu. Struktur penceritaan yang penuh teka-teki dan unsur kejutan membuatkan mereka terpasung dalam dunia Hana, watak utama yang bergelut dengan dilema antara tekanan hidup dalam realitinya dan kepercayaan mistik.
Unsur seram yang ditampilkan bukan sekadar kejutan visual, tetapi dirangka dengan elemen psikologi menjadikan penonton bukan sahaja terperanjat, tetapi turut menyoal makna “ketakutan” itu sendiri. Beberapa detik mencemaskan turut kedengaran melalui reaksi spontan penonton dalam dewan.
Selepas tayangan, sesi one-to-one bersama pengarah dan barisan pelakon memberikan gambaran lebih mendalam tentang tema dan proses kreatif filem. Antara yang hadir ialah Heidi Abyana, pembawa watak Jasmine, serta Rushdi Mornie Daud yang melakonkan watak Encik Bonsu, seorang dukun yang menjadi pemegang rahsia “azimat” yang mencetuskan konflik utama dalam filem.
Watak Jasmine yang dibawakan oleh Heidi Abyana (tengah) dipuji kerana berjaya memaparkan dualiti personaliti yang menjadi salah satu elemen penting dalam plot AZIMAT.
Sesi bergambar rasmi turut diadakan bersama Pengarah Urusan Faradale Media-M Sdn Bhd, Dr. Maria Corazon,serta pengarah filem AZIMAT, Kayzee Cortez dan barisan pelakon serta kru produksi. Momen ini menandakan penghormatan terhadap usaha kolektif yang telah menjadikan AZIMAT sebagai sebuah karya yang menyatukan kreativiti tempatan.
Kayzee Cortez bersama-sama barisan pelakon turut memperlihatkan azimat sebenar yang digunakan sebagai simbol utama dalam filem iaitu satu elemen budaya yang sarat makna dan menjadi titik utama pergerakan plot.
Kayzee turut menceritakan detik mencemaskan semasa penggambaran, khususnya ketika kru dan pelakon menjalankan penggambaran lewat malam di kawasan terpencil. Ada saatnya mereka berdepan situasi ghaib dan keadaan tidak dijangka yang menguji keberanian semua yang terlibat.
Terlihat keterujaan para tetamu jemputan yang hadir bagi menyokong karya baharu filem tempatan yang padat dengan identiti, budaya dan penyampaian seram psikologi yang unik.
Filem AZIMAT, karya seram psikologi yang dihasilkan sepenuhnya oleh bakat tempatan Sarawak, bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 27 November 2025.

Naskhah ini bukan sekadar sebuah filem, tetapi satu penghormatan terhadap budaya, kreativiti dan warisan Borneo yang kini dilangkahkan ke layar arus perdana.
Tetamu jemputan tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gambar bersama pengarah filem AZIMAT semasa tayangan perdana eksklusif di TGV Vivacity Megamall, Kuching.

Azimat Sarat Elemen Emosi dan Mistik Masyarakat Sarawak

Azimat sering dikaitkan dengan kepercayaan animisme dan spiritualisme, terutama...

Games and Gamification for Fun and Creative People Engagement

From 7 to 11 August 2023 in Kuching, nearly...

FMM Staff picks up SAINS ICT Media Awards

A staff and former staff of Faradale Media-M Sdn...

Faradale Media-M Staff Picks Up Awards

KUCHING – Sarawak Information System (SAINS) together with Federation...