Azimat sering dikaitkan dengan kepercayaan animisme dan spiritualisme, terutama dalam kalangan masyarakat Iban, Bidayuh dan Melanau di Sarawak. Bagi masyarakat Melayu, azimat sering dikaitkan dengan amalan perbomohan dan perubatan tradisional.
Dalam keadaan tertentu ia dikatakan sebagai pelindung diri daripada gangguan roh jahat, penyakit misteri dan nasib malang dan kebiasaannya dalam bentuk rantai, batu, atau ukiran kayu sering disimpan sebagai barang pusaka selain dipercayai mengandungi “semangat penjaga.
Walaupun jarang diamalkan dalam kehidupan moden kini, namun sesetengah mereka masih percaya azimat menjadi simbol kekuatan dan mampu melindungi si pengguna.
Garapan inilah yang dibawa dalam filem Azimat, sebuah filem terbitan Faradale Media-M Sdn Bhd yang menggabungkan elemen seram dan psikologi.
Elemen ini diangkat sebagai tema utama yang menyentuh emosi dan realiti masyarakat. Azimat mengisahkan watak utama seorang gadis bernama Hanna yang percaya pada seutas rantai yang mampu mengubah nasib malang dirinya selepas berjumpa dengan seorang bomoh.
Hanna berjumpa bomoh dan mendapatkan azimat setelah dia berdepan dengan titik paling terendah dalam hidupnya yang sentiasa dibayangi trauma masa silamnya dan rentetan peristiwa malangnya yang tidak berkesudahan menimpa dirinya.
Dalam keadaan putus asa, dia bertemu bomoh yang memberikannya seutas rantai azimat sebagai pelindung diri.
Awalnya nasibnya mulai berubah namun tanpa disedarinya azimat itu yang kononnya mampu membawa tuah dan perlindungan, rupa-rupanya membawa “kegelapan” dan “kehancuran” dalam hidupnya.
Penerbitnya, Kay Rezza Karim berkata, Azimat memiliki keunikan tersendiri yang jarang ada pada filem seram lain iaitu gabungan elemen mistik tempatan dan pergolakan emosi manusia menerusi satu naskhah yang mendalam dan mencengkam.
“Idea menghasilkan Azimat mula tercetus pada tahun 2019 hasil perbincangan bersama dua rakan penulis yang tertarik dengan persoalan bagaimana kepercayaan, trauma dan nasib boleh saling berkaitan dalam kehidupan manusia.”
“Kami mahu hasilkan cerita seram yang bukan sekadar menonjolkan elemen takut dan cemas, tetapi mengupas pergolakan emosi seseorang yang berada di ambang putus asa.”
Menariknya pembikinan filem ini menggunakan sepenuhnya bakat anak jati Sarawak daripada pelakonnya iaitu Dee Dee Aine Peter, Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud serta kru produksinya.
“Bahasa pengucapan dialog dalam filem ini menggunakan bahasa Melayu Sarawak, bahasa Iban dan bahasa Inggeris yang pada kami ia merupakan elemen tarikan untuk mendekatkan jiwa penonton tempatan agar dapat merasai dan menjiwai setiap watak.”
“Pada masa sama kami ingin tonjolkan Sarawak bukan sahaja sebagai lokasi pelancongan, tetapi juga sebagai pusat penghasilan karya seni berkualiti. Begitu juga dengan pemilihan Kuching sebagai lokasi penggambaran pula bukan sahaja kerana keindahan visualnya, tetapi sebagai latar sinematik yang masih mengekalkan budaya dan nilai estetika tersendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kay Rezza yang merangkap pengarah berkata, biarpun Azimat sekadar sebuah cerita rekaan, namun ia diinspirasikan daripada kisah-kisah nyata yang sering berlaku dalam masyarakat, terutama sekali kepercayaan terhadap azimat dan kesan psikologi terhadap mereka yang mengalami trauma.
Akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 November 2025, Kay Rezza berharap karya ini mendapat sambutan ramai dengan kelainan yang cuba ditampilkan berbanding filem genre seram lain.
“Harapan saya, Azimat dapat menyentuh hati penonton, bukan sahaja melalui rasa takut, tetapi melalui mesej tentang harapan, pilihan dan akibat daripada keputusan yang kita ambil dalam hidup,” ujarnya.
SINOPSIS
Azimat mengisahkan Hanna, seorang wanita yang berdepan dengan trauma masa silam dan dugaan hidup yang tidak berkesudahan. Mahu mengubah nasib malang yang menimpa, dia bertemu dengan seorang bomoh Iban yang memberikannya sebuah rantai azimat, kononnya sebagai pelindung diri daripada nasib malang yang sering menimpa diri. Namun, di sebalik ‘tuah’ rantai azimat itu, tersembunyi satu kegelapan yang perlahan-lahan menguasai jiwanya.
PELAKON
DEE DEE AINE PETER – Hanna
HEIDI ABBYANA – Jasmine
FADZRIL AFANDY – Dr. Roger Tiong
RUSHDI MORNIE DAUD – Encik Bonsu
SITI SABARIAH SHAARI – Makcik tepi jalan
SHAUN BERNARDO PAYABYAB – Bayi dalam bakul
LUCY ANAK LENJONG – Ibu Hanna
WILFRED ISAAC KANG – Bapa Hanna
DAMIEYA SENROSE ANAK STEVE MAXQUEEN – Hanna kecil
RAHID SUPARDI – Pemenang loteri
FATHMA HANNA MOHAMMAD SHAIRI – Hantu kanak-kanak
JOYCE CHAN SHEW TING – Hantu
JOACHIN THEN TZE WUN – Paderi
PRODUKSI
TERBITAN – FARADALE MEDIA-M SDN. BHD.
PENGARAH – KAY REZZA KARIM
PENULIS SKRIP DAN LAKON LAYAR – KAY REZZA KARIM
PENERBIT EKSEKUTIF – MARIA CORAZON CORTEZ
PENGARAH FOTOGRAFI – IAIN RAPHAEL BONG
PEREKA BUSANA – MELISSA PHUNG HUI HSIEN
GRACE TAY YUAN CHEN
SKOR – AMOS ISAAC ALPHNOUSES
