Usia Tua Menjadi Lebih Bermakna Jika Kesihatan Terjaga

art-472-01Amalkan gaya hidup sihat untuk memastikan usia tua anda menjadi lebih bermakna

Usia tua akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita menjaga kesihatan dengan mengamalkan cara hidup sihat seperti mengekalkan berat badan unggul dan mengamalkan pengambilan makanan seimbang.

Selain itu, kita juga haruslah kerap bersenam, berhenti merokok (bagi yang merokok), melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, kerap melakukan aktiviti bersama keluarga dan rakan, meluangkan masa untuk berehat, beriadah dan sebagainya.

Pada hakikatnya, menjadi tua adalah satu proses semula jadi yang biasa dan berterusan, dialami oleh semua insan cuma cepat atau lambatnya seseorang menjadi tua adalah berbeza.

Tidak semua orang menjadi tua dengan cara dan kadar yang sama kerana ada orang kelihatan tua apabila berumur 60 tahun manakala ada orang yang masih aktif walaupun telah berumur 80 tahun dan hal ini terjadi disebabkan oleh perbezaan dari segi cara hidup dan keturunan.

Justeru, cara yang terbaik untuk terus sihat dan cergas walaupun usia kian meningkat adalah dengan menjaga tubuh badan dan fikiran supaya kekal aktif.

Menjadi tua adalah perkara biasa, tetapi proses penuaan telah berlaku sejak kita dilahirkan namun, tidak ramai yang menyedarinya sehinggalah mereka mengalami perubahan diri atau pemikiran yang disebabkan oleh proses perubahan fisiologi.

Perubahan yang biasa berlaku adalah dari segi kulit yang mula berkedut, kering, mungkin bertompok-tompok, mengalami rabun dekat, penglihatan menjadi kabur dan mengalami masalah kurang pendengaran deria rasa dan bau

Selain itu, terjadi juga perubahan terhadap sendi, tulang dan otot di mana tulang akan mudah rapuh, otot dan sendi menjadi lemah

Perubahan-perubahan lain yang berlaku adalah tindak balas lebih lambat, penghadaman menjadi lambat, saluran darah lebih keras dan kurang elastik, keupayaan jantung mengepam berkurangan, kurang keupayaan mengawal kencing, daya ingatan menjadi kurang dan kekeliruan mungkin berlaku.

Kehidupan pada usia tua kita boleh menjadi lebih menarik jika perubahan-perubahan biasa yang berlaku dalam usia tua diterima secara positif.

Comments are closed.