Risiko Obesiti Kepada Kanak-Kanak

art-486-01

Kanak-kanak yang mengalami obesiti terdedah kepada pelbagai risiko kesihatan antaranya Diabetes Mellitus Jenis 1 (bergantung pada insulin) yang boleh berlaku pada kanak-kanak berusia seawal 8 tahun.

Diabetes adalah satu keadaan di mana tahap gula di dalam darah adalah tinggi dari normal dan ia merupakan salah satu daripada faktor utama untuk mendapat sakit jantung atau angin ahmar.

Selain itu, kanak-kanak yang mengalami obesiti juga akan mengalami tekanan darah tinggi dan jika ia berpanjangan akan membebankan jantung sekaligus membawa kerosakan kepada jantung.

Masalah hati berlemak (Fatty liver disease) juga sering berlaku di kalangan kanak-kanak obes yang boleh menyebabkan kepada kegagalan fungsi hati (liver failure, cirrhosis).

Kanak-kanak yang obes sering mempunyai tidur yang tidak sempurna, berdengkur dan mengalami gangguan pernafasan yang berulang-ulang sepanjang waktu tidur dan keadaan ini boleh menyebabkan kematian sekiranya tahap kekurangan oksigen semakin merosot.

Kanak-kanak yang obes juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah batu karang pada pundi hempedu (gallstones) dan kerosakan sendi kaki kerana mereka terpaksa memikul berat yang berlebihan sepanjang masa.

Kanak-kanak obes yang mempunyai kombinasi masalah lain seperti kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, dan paras glukos tidak normal mudah mengalami sindrom metabolik dan risiko penyakit jantung yang jauh lebih tinggi apabila usia mereka meningkat.

Aterosklerosis (perubahan pada dinding pembuluh darah) ialah masalah yang lazim berlaku pada kanak-kanak obes dan ia boleh berlaku seawal zaman kanak-kanak atau remaja terutama pada mereka yang mengalami sindrom metabolik.

Kanak-kanak perempuan yang obes pula sering mengalami akhil baligh lebih awal daripada yang biasa malah mengalami risiko fibroid pada rahim (uterine fibroid) yang akan menyebabkan mereka berdepan dengan masalah kitaran haid apabila dewasa.

Antara lain, masalah obes sering dikaitkan dengan masalah kemurungan dan kurang keyakinan diri sehingga menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami masalah susah tidur, kurang aktif, makan berlebihan dan seterusnya menambahkan lagi berat badan pesakit obes.

 

Comments are closed.