Langkah-langkah Mengatasi Obesiti di Kalangan Kanak-kanak

art-487-01

Antara kaedah terbaik untuk mengatasi masalah kanak-kanak obes ialah mengekalkan berat badan sepanjang tumbesaran (berat kekal semasa tinggi sedang bertambah) bertujuan untuk memperbaiki semula kesihatan mereka.

Selain itu, masalah kesihatan berkaitan dengan kanak-kanak obes boleh dikurangkan dengan mengamalkan tabiat makan yang baik dan kerap melakukan senaman.

Kanak-kanak obes harus melakukan kegiatan fizikal sekurang-kurangnya satu jam setiap hari kerana ia sangat berkesan untuk mengawal berat badan dan mengurangkan risiko penyakit, di samping meningkatkan kekuatan otot.

Kanak-kanak obes digalakkan untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti fizikal yang menyenorokkan seperti senaman berpasukan, berenang, yoga, berbasikal, menari, atau berjalan-jalan pada waktu petang.

Senaman yang dilakukan tidak semestinya terlalu berat atau terlalu memenatkan kerana senaman yang baik adalah aktiviti yang melibatkan pergerakan sendi dan penggunaan otot bertujuan untuk menggalakkan pembinaan otot.

Dalam pada itu, sokongan ibu bapa terhadap aktiviti anak-anak mereka juga sangat penting dan setiap aktiviti yang dirancang perlulah sesuai dengan minat dan keupayaan fizikal kanak-kanak.

Ibu bapa harus menghadkan aktiviti sedentari seperti menonton televisyen, tengok wayang, permainan video, aktiviti komputer dan sebagainya tidak termasuk aktiviti ulangkaji dan membuat kerja sekolah.

Galakkan kanak-kanak makan lima (5) hidangan yang terdiri daripada sayur-sayuran dan buah-buahan segar seperti tembikai, belimbing dan limau setiap hari.

Jika dapat, hiaskan pinggan anak-anak dengan pelbagai warna menggunakan sayuran dan buah-buahan seperti tomato, brokoli, jagung, karot, ubi kentang dan kacang hijau.

Kanak-kanak obes juga harus makan mengikut masa yang ditetapkan iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam kerana tanpa sarapan pagi, kanak-kanak akan berasa terlalu lapar sehingga menyebabkan mereka mengambil makanan secara berlebihan.

Comments are closed.