Idea Inovatif Harus Beri Manfaat Kepada Diri dan Masyarakat

art-521-01Sylvan Nathan Goldman telah mencipta troli pertama setelah mendapati orang ramai berdepan masalah membawa barang yang dibeli

Inovasi ialah kaedah mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan dan ia tercetus hasil daripada idea-idea yang inovatif iaitu sebuah daya untuk berfikir secara baharu ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti.

Idea-idea inovatif boleh merangkumi apa-apa perubahan sama ada dalam bentuk sistem dan prosedur, kaedah dan cara bekerja mahupun pengenalan alat atau teknologi.

Inovasi yang tercipta hasil daripada cetusan idea yang inovatif ini seharusnya memberi manfaat kepada diri sendiri, masyarakat serta memberi nilai tambah kepada keadaan yang sedia ada.

Sebagai contoh, Sylvan Goldman, berketurunan Latvia dari Amerika Syarikat telah mengilhamkan idea inovatif untuk mencipta troli setelah melihat wanita tua dan seorang ibu bersama kanak-kanak menghadapi kesukaran menjinjing bakul barangan ketika membeli belah di premis peruncitan beliau.

Apabila melihat situasi tersebut, idea inovatif beliau tercetus kerana mahu pelanggan mempunyai kemudahan, membeli barangan yang banyak di samping meraih keuntungan yang berlipat kali ganda dan akhirnya situasi tersebut telah menjadi titik awal kepada belia untuk penciptaan troli.

Penciptaan troli tersebut telah memudahkan orang ramai membeli barang-barang keperluan dengan kuantiti yang banyak, tidak lagi menggunakan bakul dengan berat yang sangat membebankan.

Satu perkara yang perlu kita sedari bahawa inovasi kini bukan hanya sekadar kunci kejayaan sesebuah organisasi, malah mampu memberi satu titik permulaan atau anjakan paradigma kepada kemajuan dan kejayaan sesebuah negara lantas mengukuhkan kedudukan negara itu di dalam daya saing global.

Tidak dinafikan bahawa kemampuan dan kapasiti negara dalam berinovasi merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.

Dalam konteks penjawat awam, cetusan idea yang inovatif mampu untuk meningkatkan daya saing sesebuah organisasi melalui budaya kerja baharu yang bertunjangkan teknologi.

Penjawat awam perlu separa dengan perkembangan teknologi agar lebih peka dengan keperluan rakyat yang semakin kompleks.

Pembudayaan inovasi inilah yang menjadi teras utama dalam melonjakkan transformasi kerajaan di samping meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

Comments are closed.