Penyediaan Sijil Fitosanitasi Bagi Pengeksportan Keluaran Pertanian

art-533-01Antara produk keluaran pertanian Sarawak

Bahagian Biosekuriti Tumbuhan dan Kuarantin Jabatan Pertanian Sarawak bertanggungjawab untuk menyediakan peraturan dalam pelaksanaan Sijil Fitosanitasi (PC) yang memenuhi keperluan fitosanitasi bagi keluaran pertanian ke luar negara.

PC adalah satu sijil yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia setelah mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menerusi Organisasi Kebangsaan Perlindungan Tumbuhan (NPPO).

PC juga merupakan sijil kesihatan tumbuhan yang dikeluarkan oleh negara pengeksport sebagai perakuan atau pengesahan bahawa rawatan atau keperluan-keperluan yang dinyatakan di dalam permit import telah dipatuhi.

Obligasi ini telah berkuatkuasa sejak tahun 1951 apabila semua negara peserta Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Tumbuhan (IPPC) telah bersetuju bahawa setiap hasil tumbuhan yang ingin dieksport ke luar negara perlulah diisytiharkan dan dilampirkan bersama dengan PC.

Peraturan-peraturan mengenai pengeluaran PC di bawah IPPC adalah terkandung dalam Artikel V iaitu yang pertama ialah, setiap negara terlibat perlu mewujudkan kaedah pengesahan fitosanitasi bertujuan memastikan tumbuhan, bahan-bahan tumbuhan dan lain-lain konsainan yang dieksport mematuhi kenyataan yang dibuat pada para 2(b) artikel ini.

Kedua, setiap negara perlu mewujudkan kaedah pengeluaran PC bagi memastikan pemeriksaan dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pengeluaran PC hanya sah dibuat oleh atau bagi pihak badan perlindungan tanaman negara tersebut.

Pegawai-pegawai yang dilantik menjalankan pemeriksaan perlu mempunyai kelayakan teknikal dan diberikan segala maklumat yang perlu agar PC yang dikeluarkan boleh diterima oleh negara pengimport sebagai satu dokumen yang sah.

PC yang dikeluarkan perlu mengikut model yang disediakan oleh IPPC dengan mengambil kira standard-standard antarabangsa yang berkaitan dan sekiranya terdapat pindaan-pindaan atau pembatalan pada PC tanpa pengesahan akan menjadikan PC tersebut tidak sah.

Setiap negara diingatkan untuk menolak kemasukan sebarang konsainan yang tidak disertai dengan PC yang diiktiraf oleh IPPC kerana hanya pegawai yang telah dilantik oleh Pengarah Pertanian sahaja yang boleh membuat pemeriksaan konsainan.

Seseorang pegawai itu perlu mempunyai kuasa (memiliki kad kuasa sebagai bukti dan dokumen sah) sebagai pegawai pemeriksaan terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk membuat pemeriksaan bagi pengeluaran sijil.

Peruntukan-peruntukan mengenai pengelauaran PC adalah seperti yang dinyatakan di bawah Peraturan 19 (1), (2) dan (3) dalam Peraturan-peraturan Kuarantin, Akta Kuarantin 1976.

Comments are closed.