Ethovent: Cetusan Idea Inovatif Sosial

art-538-01Majlis Pelancaran Ethovent yang telah diadakan pada 10 Julai 2020 (Gambar MOSTI)

Di sebalik cabaran berdepan pandemik COVID-19, ramai anak tempatan termasuk agensi kerajaan dan swasta tampil menghasilkan produk inovatif yang berguna.

Salah satunya adalah mesin semi-ventilator yang dipanggil Ethovent. Ciptaan oleh syarikat tempatan, iaitu Saora Industries Sdn Bhd tersebut dilancarkan bersama oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) YB Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan YB Dato’ Sri Adham Baba pada Julai 2020.

Idea inovatif berkenaan tercetus dengan melihat peluang dalam melaksanakan inovasi sosial dalam bidang kesihatan dan melihat situasi semasa apabila para petugas barisan hadapan di hospital mengalami kekurangan mesin ventilator berikutan peningkatan bilangan pesakit COVID-19.

Ethovent merupakan semi-ventilator pertama di Malaysia dicipta dan berjaya dibangunkan hanya dalam masa tujuh minggu.

Mesin berkenaan menekankan tiga aspek utama, iaitu mampu milik, kebolehcapaian dan kebolehpercayaan.

Ethovent telah pun berjaya menjalani ujian klinikal di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan telah mendapat maklum balas yang mengalakkan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Penghasilan mesin tersebut adalah projek rintis di bawah National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) yang diumumkan YAB Perdana Menteri di bawah PENJANA.

Selain itu, Ethovent juga telah mencipta sejarah kerana ia merupakan alat perubatan inovatif pertama yang telah mendapat pensijilan di Asia Tenggara, yang seterusnya membolehkannya untuk dieksport ke negara-negara luar.

Menurut MOSTI, semi-ventilator tersebut adalah contoh terbaik inovasi sosia yang mengubah satu idea kepada perusahaan yang berpotensi untuk mengubah kehidupan manusia.

Comments are closed.